Sembilan ekar Hutan Simpan Kuala Langat masih terbakar - JBPM Selangor

Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun faktor cuaca kering dan berangin dipercayai menyumbang kepada penyebaran api. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), Sungai Kelambu, memasuki hari ketiga hari ini dengan 47 ekar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki 9 ekar masih terbakar.
Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, kebakaran yang mula dikesan pada Selasa lalu melibatkan keseluruhan kawasan seluas 56 ekar.
"Kebakaran masih aktif dengan beberapa titik panas kecil, namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran atau Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 35 anggota, termasuk 2 pegawai dan 10 anggota JBPM, serta 23 anggota daripada agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat, dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
"Pasukan operasi dibahagikan kepada tiga kumpulan dan JBPM turut menggunakan dua unit dron untuk pemantauan udara bagi mengenal pasti titik panas dan menilai keberkesanan operasi pemadaman.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun faktor cuaca kering dan berangin dipercayai menyumbang kepada penyebaran api," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


