Sembilan gerai musnah dalam kebakaran di Desa Pandan

Sebanyak sembilan buah gerai musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Desa Pandan, ibu negara.

Sembilan gerai musnah dijilat api dalam kejadian di Desa Pandan, ibu negara awal pagi tadi. -JBPM | Astro Awani
Sembilan gerai musnah dijilat api dalam kejadian di Desa Pandan, ibu negara awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 pagi Selasa.

Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan Keramat digerakkan ke lokasi kejadian.



"Kebakaran melibatkan sembilan buah gerai yang terbakar 100 peratus, dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.19 pagi.

"Jumlah keseluruhan gerai yang berada di kawasan kebakaran adalah sebanyak 68 buah dengan anggaran keluasan kawasan 1,350 kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, jurucakap bomba itu berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.