MALAYSIA
Seminar TEKUN Nasional ruang usahawan luar bandar tingkat kemahiran digitalisasi

Ewon menyampaikan reflika cek kepada usahawan yang mendapat pinjaman Tekun pada majlis perasmian seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di Hotel Juta Keningau hari ini. - Gambar Bernama
KENINGAU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional komited memperkukuh pengetahuan serta kemahiran usahawan, termasuk di luar bandar Sabah melalui Seminar Asas Keusahawanan bagi memberi pendedahan informasi terkini terutama dalam aspek digitalisasi perniagaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata komitmen TEKUN Nasional menyediakan platfom seumpama itu amat diperlukan sebagai sokongan untuk memastikan golongan usahawan tempatan boleh berkembang maju dalam perniagaan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau berkata sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 1,059 siri seminar telah diadakan di seluruh negara dengan penyertaan seramai 315,184 peserta.
"Seminar ini perlu diteruskan untuk mengupayakan usahawan di seluruh negara. Saya percaya digitalisasi menjadi antara pengisian dalam seminar dan ia wajar diteruskan. Sebelum COVID-19, mungkin elemen ini belum berapa ketara tetapi selepas pandemik, komponen pemasaran secara digital sangat besar sehingga hari ini."Terima kasih kepada TEKUN Nasional kerana memberi fokus kepada usahawan luar bandar. Perhatian sama perlu diberikan lebih-lebih lagi usahawan luar bandar mengambil kira faktor logistik, geografi dan keperluan pemasaran dalam talian menjadi sesuatu yang sangat penting," katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional di sini, hari ini.
Seminar sehari itu dihadiri seramai 300 usahawan Keningau termasuk kawasan sekitar.
Ewon berkata seminar sama telah diadakan di Telupid, Kuamut dan Kota Marudu, manakala di Beaufort, pada Ahad.
"Semua ini adalah kawasan luar bandar. Saya yakin seminar ini akan dapat membantu usahawan-usahawan mengemas kini dan memperbaharui pengetahuan serta kemahiran dalam pengurusan, pentadbiran dan pengoperasian perniagaan mereka," katanya.
Beliau turut memuji usaha TEKUN Nasional yang sentiasa menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan mikro dan kecil melalui pinjaman mudah dan berpatutan supaya mereka dapat memanfaatkan peluang mengembangkan potensi perniagaan.
Pada majlis itu, Ewon menyampaikan replika cek pembiayaan berjumlah RM3.54 juta kepada 234 usahawan sekitar Keningau bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Sejak diwujudkan pada 1998, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.2 billion kepada 66,350 usahawan di Sabah sehingga kini.
Bagi Parlimen Keningau, bantuan pembiayaan disalurkan kepada 2,821 usahawan bimbingan TEKUN Nasional melibatkan RM52 juta bagi tempoh yang sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami