Semua tiket bas ekspres di TBS wajib ada kod QR, tidak perlu lagi tukar, cetak

Anthony Loke membuat tinjauan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) di Kuala Lumpur, pada Selasa. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mewajibkan semua ejen tiket dalam talian (OTA) menyediakan tiket bas ekspres lengkap dengan kod QR, berkuat kuasa bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bagi penumpang yang telah membeli tiket lebih awal dan belum mempunyai kod QR, mereka boleh mengakses kemudahan penjanaan kod tersebut secara dalam talian menerusi portal rasmi Terminal Bas Bersepadu (TBS).
"Selepas ini, penumpang yang menempah secara dalam talian tidak perlu lagi datang ke kaunter untuk menukar kod QR (tiket) secara fizikal apabila tiba di TBS.
"Kod QR ini berfungsi seperti boarding pass di lapangan terbang untuk membolehkan penumpang masuk ke pintu pelepasan.
"Kita harap dengan sistem dalam talian ini, jumlah orang yang beratur di kaunter akan berkurangan sekali gus menangani isu kesesakan di TBS," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di terminal bas berkenaan, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan menjangkakan sehingga 1,000 perjalanan bas sehari akan beroperasi di TBS menjelang musin perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, arahan tegas turut diberikan kepada pihak pengurusan TBS supaya memastikan semua kemudahan asas di terminal berada dalam keadaan baik.
"Kita terima aduan seperti eskalator dan lif tidak berfungsi serta tandas kotor, jadi MOT beri perhatian perkara ini. Pengendali TBS sudah diarahkan untuk membuat penyelenggaraan.
"Mereka mengenakan caj perkhidmatan kepada penumpang, jadi tanggungjawab mereka untuk memastikan kemudahan terminal berada dalam keadaan terbaik," jelas Anthony.
Selain itu, pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Sri Permaisuri akan dipindahkan ke TBS bermula Mac depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


