UMNO perlu memanfaatkan sengketa tiga penjuru antara DAP dengan PAS dan PKR bagi menjelaskan kepada rakyat betapa parti politik pembangkang tidak pernah konsisten dalam perjuangan mereka.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perjuangan pembangkang kini terbukti semata-mata kerana kedudukan dan kuasa serta kepentingan kaum tertentu.

"Ini bertentangan dengan aspirasi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia," tegasnya dalam kenyataan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Jelasnya, perbalahan antara Pas, PKR dengan DAP pada dasarnya memberi keuntungan politik kepada UMNO termasuk Barisan Nasional (BN).

"Kita sepatutnya mengambil manfaat daripada perbalahan sesama mereka, pergunakannya sebaik mungkin supaya rakyat sedar kepincangan tersebut," katanya.

Menurutnya, sayap UMNO kini perlu lebih pro-aktif menyerang pembangkang menerusi laman-laman sosial seperti dilakukan pembangkang terhadap UMNO.

"Andainya ini berlaku kepada UMNO, pasti laman-laman sosial akan menjadi medium utama pembangkang menabur pelbagai cerita fitnah dan cercaan terhadap UMNO.

"Kita tidak semestinya turut menyebarkan fitnah sepertimana perangai pemimpin pembangkang, tetapi kita perlu lebih agresif mengeksploitasikan isu tersebut untuk memberi keuntungan politik kepada parti.

"Masyarakat lebih tertarik kepada berita sensasi yang diputar belit atau yang dimuat dengan bahan fitnah daripada menerima laporan atau maklumat sahih atau munasabah.

"Inilah yang menjadi tanggungjawab kita di setiap peringkat kepimpinan parti, memperbetulkan persepsi negatif dan mengekalkan keyakinan serta sokongan rakyat terutama orang Melayu terhadap UMNO," tegasnya.

Tambah Syed Ali lagi, senario politik mutakhir memperlihatkan bagaimana pakatan parti pembangkang semakin berkecamuk tetapi sengaja ditutup agar tidak diketahui umum.

"Pembangkang sebenarnya semakin teruk dan hampir hancur. Oleh sebab itu, mereka sengaja memainkan isu yang tidak relevan dengan memburuk-burukkan UMNO bagi mengabui mata rakyat," ujarnya.

Justeru, katanya, bagaimana mungkin pakatan pembangkang mampu mentadbir negara ini kerana mereka sendiri tidak pernah konsisten dan berbalah sesama sendiri atas kepentingan berbeza.

"Sesama mereka bergaduh, DAP selaku 'abang besar' mahu Pas dan PKR mengikut telunjuk mereka (DAP), yang terkenal dengan politik perkauman dan sentiasa mencurigai kedudukan orang Melayu," tegasnya.

Menurutnya, sengketa DAP dengan PKR semakin meruncing apabila DAP memberi kata dua kepada PKR supaya memecat exco Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Di peringkat pusat pula, DAP mengecam Pas kerana tidak menyokong usaha pembangkang menolak Bajet 2016 yang dibentang perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen minggu lalu.

"DAP dengan angkuhnya menuduh Pas, terutama presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang semakin 'rapat' dengan UMNO," ujarnya.

Dalam isu di Selangor pula, kata Syed Ali, PKR perlu membuktikan kepada rakyat negeri itu bahawa mereka tidak akan menggadaikan prinsip hanya kerana terpaksa menuruti telunjuk DAP.

"Menteri Besar, Azmin Ali kena buktikan bahawa dia masih ada harga diri dan tidak menggadaikan prinsip kerana agenda politik DAP," tegasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut mengecam DAP yang menolak Bajet 2016 hanya kerana kepentingan politik, bukannya berlandaskan kepada keutamaan rakyat.

"Apa sahaja dikemukakan oleh kerajaan BN akan ditolak oleh DAP sekiranya terdapat perkara yang tidak memberi keuntungan kepada mereka terutama membabitkan usaha meningkatkan tahap kedudukan orang Melayu dan bumiputera," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sekali lagi mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak sengaja mencari kelemahan sesama sendiri.

"Kadangkala kita terdengar ada pihak tertentu sengaja membongkar salah orang lain; kita buka kelemahan sesama kita, tetapi kita lupa kesannya terpalit kepada UMNO.

"Semua pihak kini perlu berfikiran lebih rasional untuk berusaha mencari jalan perdamaian ke arah pengukuhan saf kepimpinan parti.

"Ini rumah tangga UMNO, kita yang bina bersama, maka sepatutnya kita lebih bertanggungjawab mempertahankan teras binaannya agar tidak runtuh.

"Mana yang bocor, kita berpakat membaikinya supaya kembali kukuh, bukannya berterusan menyalahkan orang lain," tegasnya.

Malah, jelasnya, UMNO bukannya berperang sesama sendiri, tetapi sebenarnya akan berdepan dengan serangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Jika UMNO kecundang, padahnya akan menimpa kepada bangsa, negara dan umat Islam secara keseluruhannya," katanya.