Seniman maklum kehilangan Nadia Kesuma kepada Menteri Luar

Hafiz berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan kehilangan Nadia Kesuma kepada Mohamad Hasan. - Foto Seniman
KUALA LUMPUR : Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengesahkan pelakon Nadia Kesuma dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi Khamis.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan.
"Saya secara peribadi telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pagi tadi berkenaan kehilangan [Puan] Nadia Kesuma.
"Hasil daripada data dan maklumat awal yang kami perolehi beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi setelah transit sekitar 2 jam di Jeddah," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Malah, difahamkan pihak keluarga dan konsulat Malaysia di Jeddah telah membuat laporan Polis hari ini untuk pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Arab Saudi boleh menjalankan siasatan sekaligus membolehkan pihak berkuasa Arab Saudi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang untuk menjejaki Puan Nadia Kesuma.
Nadia Kesuma tiba di Jeddah kira-kira jam 6.20 pagi waktu tempatan dan sepatutnya meneruskan penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi selepas transit dua jam.
Bagaimanapun, beliau tidak menaiki penerbangan itu dan tidak dapat dikesan selepas ke tandas, walaupun namanya beberapa kali dipanggil.
Beg tangan milik Nadia Kesuma dipercayai ditemui di lapangan terbang, manakala bagasi dalam kargo telah selamat tiba di London.
Dalam pada itu, persatuan itu menggesa orang ramai menghentikan spekulasi dan mendoakan agar Nadia Kesuma ditemui dalam keadaan selamat.
"Seniman percaya bahawa pihak berkuasa Arab Saudi akan berkerjasama rapat dengan pihak konsulat Malaysia di Jeddah untuk mendapatkan maklumat lanjut serta segera untuk menjejaki keberadaan Puan Nadia Kesuma," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


