KULAI: Seorang lelaki berumur 41 tahun maut dalam nahas jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 37.1 Lebuh Raya Utara-selatan (arah Selatan), di sini, sekitar jam 6.10 pagi tadi. 

Mangsa dilaporkan tercampak keluar sejauh dua meter selepas kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan lain jenis Proton Persona dari arah belakang. 

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan Dua Fauzi Che Deris berkata, rempuhan itu menyebabkan kenderaan Perodua Viva terbabit telah terbabas ke kiri jalan. 

Sejurus itu, katanya, satu lagi pelanggaran berlaku melibatkan sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva yang menghentam bahagian belakang kenderaan Proton Persona terbabit. 

“Dua lagi mangsa, iaitu Pemandu Proton Persona dan Perodua Viva kedua telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dilokasi. 

“Satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Kulai dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian.

“Pemandu perodua Viva pertama telah tercampak sejauh dua meter dari kenderaan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

“Pasukan Keluaran Operasi terpaksa menggunakan alat stretcher untuk mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk di bawa ke Hospital Kulai bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad. 

Jelasnya, operasi menyelamat ditamatkan pada jam 7.30 pagi setelah keadaan dipastikan selamat. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yow dalam kenyataan memaklumkan, mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. 

Menurutnya, perempuan berusia 37 tahun yang juga pemandu kereta Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan manakala maklumat mengenai pemandu sebuah lagi kenderaan Perodua Viva masih belum diperoleh memandangkan masih lagi mendapatkan rawatan di hospital. 

Seorang lelaki maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 37.1 Lebuh Raya Utara-selatan (arah Selatan), di Kulai. - Foto JBPM

Tambah beliau, kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu akan dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.