KOTA TINGGI: Seorang maut manakala enam lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 66.6 Lebuhraya Senai-Desaru di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa yang merupakan penumpang Perodua Myvi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Menurutnya, kemalangan pada jam 11.50 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama empat penumpang, Proton Exora dinaiki dua individu serta Mazda CX-30 dipandu lelaki berusia 30 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan Proton Exora dari arah bertentangan.
“Proton Exora kemudiannya dilanggar Mazda CX-30 dari arah belakang, namun pemandu Mazda tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Yusof berkata, pemandu dan empat penumpang Perodua Myvi serta dua individu yang menaiki Proton Exora mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke HSI, Hospital Kota Tinggi dan Hospital Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan sebelum seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Sinar Harian