SHAH ALAM: Ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee atau dikenali sebagai Nicky yang disyaki terlibat dengan sindiket jenayah terancang dan pengubahan wang haram terbesar tiba di Mahkamah Sesyen di sini sekitar pukul 9 pagi tadi.

Nicky, 34, yang tiba di mahkamah dengan berpakaian kemeja hitam dan seluar hitam dan dikawal ketat pihak polis. 

Dia dijangka menghadapi 26 pertuduhan dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


 
Selepas setahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, Nicky semalam akhirnya menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak sekitar 11 pagi.

Sebelum ini, Nicky yang juga pengasas Winner Dynasty Group diburu selepas Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan berasingan di Puchong, Selangor, sebelum menahan 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri.

BACA: Gelaran 'Datuk Seri' Nicky Liow, 'Datuk' Liow Wei Loon ditarik balik serta-merta

Sindiket itu sebelum ini disyaki terbabit dalam pelbagai jenis kes penipuan dalam talian.

Nicky juga pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, lima tahun lalu.