KUALA LUMPUR: Seorang peniaga memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima bayaran RM549,090 daripada Tan Sri Shahrir Ab Samad bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka, Larkin yang terbengkalai selama lapan tahun.

Syed Mohsin Syed Sagaf, 65, berkata bekas pengerusi Felda itu membayar wang tersebut selepas syarikat milik anaknya iaitu YM Auto Wheels Enterprise mengeluarkan tiga invois masing-masing bernilai RM206,100; RM256,950 dan RM86,040.

"Saya sendiri yang menyerahkan ketiga-tiga invois bertarikh 22 Mac 2014 itu kepada Tan Sri Shahrir dan ini merupakan tuntutan yang dibuat oleh saya kepada beliau berkaitan kerja-kerja membaik pulih bagi projek di Blok C, D dan E. Saya telah mengarahkan pekerja syarikat anak saya bernama Zul untuk mengeluarkan invois itu," katanya.

Pernyataan saksi pendakwaan ke-10 itu dibaca oleh jurubahasa kerana beliau mempunyai masalah rabun yang teruk.

Menurut saksi itu, beliau menggunakan syarikat anaknya untuk mengeluarkan invois tersebut kerana beliau tidak memiliki syarikat sendiri.

Selain itu, Syed Mohsin berkata pada Oktober 2013, Shahrir telah meminta bantuannya untuk mencari kontraktor bagi projek tersebut yang kini dikenali sebagai Sri Anugerah kerana ahli politik itu mengetahui bahawa beliau mempunyai ramai kawan yang bekerja sebagai kontraktor.

"Memandangkan kami saling mengenali secara rapat, saya bersetuju untuk membantu beliau (Shahrir). Saya dan Tan Sri Shahrir telah pergi ke tapak projek tersebut untuk melihat keadaan dan semasa lawatan itu, kami telah berbincang berkenaan bayaran untuk membaik pulih tiga blok tersebut dan bila kerja-kerja membaik pulih boleh dimulakan," katanya yang mengenali Shahrir lebih 30 tahun.

Syed Mohsin berkata beliau telah memulakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan seperti pintu, lantai dan pendawaian bagi ketiga-ketiga blok bangunan itu pada Oktober 2013 dengan menggunakan wang peribadinya untuk tujuan membeli barang-barang, membayar hutang pembekal dan upah pekerja.

Memandangkan Syed Mohsin telah kehabisan modal kewangan, saksi itu telah berjumpa dengan Shahrir di pejabatnya dan meminta bayaran untuk menanggung kos membaik pulih projek itu.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd 'Afif Ali, sama ada Shahrir ada memberitahu sumber wang itu diperoleh dari mana, Syed Mohsin menjawab: "Tiada".

Kepada soalan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir sama ada Shahrir adalah seseorang yang boleh dipercayai kerana menggunakan duit sendiri untuk membayar projek itu, Syed Mohsin menjawab: "Ya, saya boleh percayakan Tan Sri Shahrir kerana beliau wakil rakyat terbaik".

Terdahulu, bekas pemilik syarikat YM Auto Wheels, Syed Yussof, 30, yang merupakan anak kepada Syed Mohsin memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga invois itu ditandatangani oleh bapanya.

Disoal TPR Rasyidah Murni Azmi sama ada saksi itu mengetahui bapanya telah menggunakan nama syarikat untuk projek tersebut dan menerima komisen daripada Syed Mohsin kerana menggunakan nama syarikat miliknya, Syed Yussof menjawab dia mengetahuinya, namun tidak menerima sebarang komisen daripada bapanya.

Selain itu, Syed Yussof berkata syarikatnya yang menjalankan perniagaan jual beli kereta terpakai itu kini tidak lagi beroperasi.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 dan pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

-- BERNAMA