Siak surau parah ditetak, lelaki ditahan

Seorang warga emas cedera parah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki ketika berada dalam sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting, dekat Taiping petang Rabu. - Foto tular/Sinar Harian
IPOH: Seorang warga emas cedera parah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki ketika berada dalam sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting, dekat Taiping petang tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pihaknya menerima laporan pada 3.13 petang mengenai seorang lelaki berusia 68 tahun yang juga siak surau berkenaan diserang dengan parang.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di kawasan surau tersebut apabila secara tiba-tiba telah datang seorang lelaki yang dikenali berusia 55 tahun dengan membawa sebilah parang lalu menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan tangan," katanya dalam kenyataan.
Katanya mangsa mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
Beliau berkata motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa dan siasatan juga mendapati suspek merupakan pesakit psikiatri serta pernah mendapatkan rawatan di hospital.
Hasil tindakan pantas polis, lelaki itu berjaya diberkas pada 4.30 petang tadi di kawasan Kamunting dan semakan mendapati dia mempunyai 16 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


