PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sedia disiasat berhubung dakwaan mengedarkan sampul duit raya yang tertera gambar beliau kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Jelasnya, tindakan tersebut dilakukan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

"Siasatlah apa nak siasat pun. Tidak mengapa...Mereka akan tahu apa yang sebenarnya," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, pemberian duit raya merupakan amalannya sewaktu menyantuni kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pesakit di wad.

"Ke mana saya pergi buat lawatan ke hospital untuk menyantuni kakitangan dan pesakit, saya bagi duit raya.

"Ia secara peribadi daripada saya. Tidak terkait dengan pilihan raya.

"Awak nak kata apa pun itulah. Saya bukan hendak cari populariti," katanya.

Sebelum ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu sidang media menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Dr Dzulkefly kerana didakwa memberi sampul kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu. - Sinar Harian