NATIONAL
Sidang Dewan Rakyat ditangguh ke Julai - Pejabat Speaker

Ia bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi kepada penyediaan RMK-13, dengan mengambil kira impak tarif AS. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung dari 23 Jun hingga 31 Julai 2025, ditunda ke 21 Julai hingga 28 Ogos depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, ia bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan mengambil kira impak tarif timbal balas Amerika Syarikat.
“Tahun 2025 merupakan tahun yang penuh dengan komitmen bagi semua Ahli Yang Berhormat, bukan sahaja dari segi urusan Parlimen di peringkat dalam negeri, malah melalui penglibatan langsung dalam pelbagai persidangan serantau termasuk Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA),” katanya.
Ia termasuk Mesyuarat Perundingan Ahli Muda Kedua Perhimpunan Inter-Parlimen ASEAN (YPA), serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (ASEAN25).“Tahun ini juga menyaksikan peningkatan jumlah hari persidangan Dewan Rakyat kepada 78 hari, berbanding 69 hari pada tahun 2024 — membuktikan kesungguhan Parlimen Malaysia untuk memperkukuh proses demokrasi berparlimen,” katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan, Parlimen Malaysia kekal bebas daripada sebarang kecenderungan politik dan sentiasa menjunjung kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan utama.
“Perubahan tarikh ini mencerminkan usaha menjayakan kepimpinan Malaysia di peringkat ASEAN serta memastikan kelancaran persidangan yang akan datang, termasuk penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Parlimen Malaysia kekal komited untuk mendukung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keterlibatan rakyat dalam setiap aspek tadbir urus,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami