Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Silibus teknologi angkasa dalam TVET mampu pacu tenaga mahir negara - MYSA

61604379528_AzlikamilNapiah.jpg
Azlikamil berkata, pembangunan modal insan merupakan antara lima teras utama Dasar Angkasa Negara 2030 kerana Malaysia perlu membina kepakaran tempatan dan tidak boleh bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara selama-lamanya. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperluas meliputi bidang teknologi maju angkasa selain bidang aeroangkasa, bagi mewujudkan tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri angkasa negara yang kian berkembang.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah berkata, beberapa institusi TVET kini menawarkan program berkaitan aeroangkasa yang menumpukan kepada teknologi penerbangan.

Beliau berkata, bagaimanapun, negara juga memerlukan tenaga mahir khusus dalam bidang teknologi angkasa seperti pembangunan satelit, pemasangan dan pengujian komponen, operasi satelit serta sistem sokongan angkasa.

Pada Mei lepas, MYSA mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan TVET bagi mengenal pasti keperluan, cabaran, peluang serta pendekatan yang bersesuaian untuk memperkukuh pembangunan modal insan sektor angkasa negara, katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu masih di peringkat perbincangan dengan cadangan untuk memasukkan modul teknologi angkasa merangkumi segmen huluan, pertengahan dan hiliran dalam kurikulum TVET bagi memastikan lepasan TVET memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

“Kita inginkan pengetahuan teknologi angkasa diterapkan dalam TVET, memandangkan sektor ini memerlukan ramai tenaga mahir, bukan sahaja jurutera malah juga juruteknik, pakar pemasangan, pengujian, penyelenggaraan dan pelbagai bidang teknikal lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azlikamil berkata, pembangunan modal insan merupakan antara lima teras utama Dasar Angkasa Negara 2030 kerana Malaysia perlu membina kepakaran tempatan dan tidak boleh bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara selama-lamanya.

Beliau berkata, industri angkasa menawarkan peluang kerjaya yang luas meliputi kejuruteraan, elektronik, analisis data, robotik dan automasi, pembangunan perisian, pembuatan komponen, penyelenggaraan serta perundangan angkasa.

Cadangan pembangunan bakat tempatan menerusi TVET amat bertepatan bagi menyokong sasaran sektor angkasa yang diunjurkan menyumbang sekitar RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030, katanya.

Dalam perkembangan lain bagi aspek modal insan, Azlikamil berkata, bidang undang-undang angkasa ditawarkan di universiti juga dijangka membuka peluang kerjaya baharu kepada generasi muda susulan perkembangan pesat ekosistem angkasa negara yang memerlukan kepakaran dalam aspek kawal selia, pematuhan dan pengurusan liabiliti.

Beliau berkata, minat pelajar terhadap subjek itu didapati meningkat selepas kerajaan mewujudkan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834].

Akta 834 itu penting kerana setiap aktiviti atau insiden melibatkan objek angkasa boleh membawa implikasi liabiliti kepada negara, justeru, perlu diurus menerusi kerangka perundangan yang teratur, katanya.

"Apabila melibatkan teknologi maju, perkara itu datang dengan cabaran, dan cabaran itu mesti dikendalikan melalui aspek kawal selia. Apabila menghasilkan komponen angkasa, industri juga memerlukan individu yang memahami undang-undang dan pematuhan berkaitan angkasa. Ini mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda," katanya.

Azlikamil berkata, industri angkasa mempunyai skop pekerjaan yang luas dan tidak hanya melibatkan angkasawan atau penerokaan planet, malah juga merangkumi keseluruhan ekosistem termasuk pembuatan komponen, operasi satelit, perkhidmatan data, kawal selia dan perundangan.

Malaysia kini turut dijadikan rujukan dalam aspek perundangan angkasa di rantau Asia Tenggara apabila negara mempunyai Dasar Angkasa Negara 2030 serta Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834].

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement