Selepas 20 tahun mereka bentuk, membina dan menguruskan taman tema di seluruh dunia, Sim Leisure Group yang berpangkalan di Pulau Pinang kini diambang melancarkan satu taman tema bernama "Escape."

Sebagai persediaan bagi pembukaannya pada bulan depan, Pengasas dan Ketua Eksekutif, Sim Choo Kheng telah mengalihkan aktiviti perniagaan teras syarikat itu ke arah mewujudkan dan mengeksport satu jenama taman tema yang direka bentuk oleh rakyat Malaysia.

Selain mengendalikan Escape yang pertama di Teluk Bahang, Pulau Pinang, Sim Leisure kini memberi tumpuan mengeksport konsep ke Timur Tengah, Eropah dan pasaran yang sedang berkembang pesat di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat bagi mendapatkan taman tema yang berpaksikan alam sekitar.

Syarikat itu kini telah berunding dengan para pelabur Arab bagi pembinaan Escape yang pertama di luar Malaysia dan lokasinya kemungkinan besar di Pantai Laut Merah di Arab Saudi, kata Sim kepada Bernama hari ini.

Perundingan juga sedang berlangsung dengan para pelabur seberang laut untuk memfrancais Escape, katanya, sambil menyatakan permintaan mendapatkan kemudahan liburan keluarga di luar rumah semakin berkembang.

"Selepas dua dekad mewujudkan keriangan bagi pelanggan kami, kami mahu mengubah konsep taman tema dan mewujudkan sesuatu lebih bertanggung jawab sosial dan lestari," katanya.

Sim berkata syarikat itu mahu membina satu genre taman tema yang
mencerminkan kedua-dua keriangan orang ramai di alam semula jadi serta
sesetengah tema utama masa ini - seperti keperluan melindungi alam sekitar.
Sambil Timur Tengah terus menjadi kawasan pertumbuhan sejak 10 tahun lepas,
katanya Sim Leisure juga melihat Eropah sebagai satu wilayah yang menghargai
falsafah dan nilai Escape.
Sim Leisure telah menyediakan perkhidmatan siap guna bagi taman tema air dan
industri taman tema dan projek utama telah direka bentuk, mengikut tema,
dilaksanakan dan diuruskan di pasaran antarabangsa dengan jayanya.
Antara pelanggannya ialah "Lost Paradise of Dilmun" di Bahrain, "Snow
Penguins" di Ski Dubai, Taman Tema Air Yas Island di Abu Dhabi (salah satu taman
tema air utama di dunia), "Universal Studios" di Singapura, "Legoland Denmark,"
"Legoland" di Malaysia, "Yerevan Waterworld" di Armenia dan "Aquapolis" di
Bulgaria.
Sim percaya konsep Escape akan diterima dengan baik jika dilihat dari
permintaan mendapatkan aktiviti lebih sihat, terutama sekali bagi kanak-kanak
yang hari ini hidup dalam gaya hidup tidak aktif.
Katanya kebanyakan daripada kita prihatin mengenai pemanasan global,
perubahan iklim dan perbandaran dan tema itu bermatlamat membuka minda orang
ramai mengenai perbezaan kehidupan dan memikirkan mengenai alam sekitar.
Taman tema Escape yang pertama di Teluk Bahang akan dibuka awal bulan depan
dan dijangka menjadi destinasi pelancongan berkelas dunia yang menyediakan
industri pelancongan Pulau Pinang dengan satu produk yang baharu dan menerujakan
untuk dipromosikan.
Sim berkata fasa pertama Escape ialah AdventurePlay, yang menyasarkan lebih
350,000 pelawat setahun di mana kanak-kanak akan dididik mengenai manfaat
mengitar semula dan mempromosikan penggunaan bahan yang mempunyai karbon yang
rendah.
"Keseluruhan kawasan Escape berkeluasan 17.6 hektar di Pulau Pinang, yang
dijadualkan disiapkan menjelang 2017, akan menarik lebih sejuta pelancong
setahun ke Teluk Bahang," katanya.
Escape terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu AdventurePlay, WaterPlay
dan Hotel Treetop yang akan memaparkan pembangunan yang mengguna pakai
pendekatan yang digunakan oleh nenek moyang seperti penuaian air hujan, mengitar
semula, bumbung sayur-sayuran kepelbagaian bio.
Sim berkata syarikat telah mengambil daya usaha di segi tanggung jawab
sosial korporat di dalam komuniti Teluk Bahang dengan mewujudkan satu
persekitaran hijau memulihkan satu tapak yang ditinggalkan.
Tapak Escape ialah bekas tapak pembinaan Takungan Air Teluk Bahang.
Selain mewujudkan satu kawasan hijau bagi komuniti, Sim berkata taman tema
itu, apabila siap kelak, akan menjana lebih 600 pekerjaan dan sekali gus
mewujudkan limpahan ekonomi yang besar.
Escape Pulau Pinang akan menerima pelaburan RM180 juta menyatukan aktiviti
dari zaman silam kanak-kanak dengan aktiviti era moden seperti memanjat pokok,
bermandi-manda di sungai dan pengembaraan di atas pokok.
Salah satu tarikan utamanya ialah Lompatan Atan, satu pengembaraan terjunan
bebas dari platform tinggi sambil aktiviti lain termasuk titian tali tiga tahap
(dari 13 meter hingga 30 meter), Zoom Bug, satu kereta menggunakan kuasa
manusia, aktiviti memanjat menara dan banyak lagi.
-- BERNAMA
TCT NN AHM