MALAYSIA
Sindiket 'Fly By Night' guna resit palsu tumpas, lima individu ditahan

Shazeli (tengah) meninjau rampasan barang kes yang dilaksanakan polis berhubung kes sindiket penipuan baru-baru ini. - Gambar Sinar Harian
HULU SELANGOR: Sindiket penipuan Fly By Night yang aktif menipu syarikat pembekal barangan menggunakan resit pembayaran palsu sejak Jun tahun ini tumpas, selepas lima ahlinya ditahan dalam dua siri operasi oleh Polis Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi pertama melibatkan penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 53 hingga 58 tahun di hadapan sebuah pusat servis kereta di Bandar Mahkota Cheras pada 2.15 petang, 26 Sept lepas.
"Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan dicuri termasuk plastik pembungkus, baja sawit, barangan dapur, silinder gas, pendingin udara, pemampat udara, minyak enjin, minyak hidraulik, cat, salutan cat penebat haba dan sebuah sebuah lori," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata hasil penahanan, pihaknya menemukan sebuah gudang simpanan terletak di Kajang dipercayai menjadi tempat simpanan barangan diperoleh daripada mangsa penipuan."Penemuan pelbagai barangan di gudang tersebut membantu pihak polis menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor melibatkan kerugian sebanyak RM166,338.10 selain dua kes penipuan di Perak membabitkan kerugian RM55,515.70," katanya.
Shazeli berkata siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi ahli sindiket terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga Pakistan 30 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan lima orang.
"Semakan rekod jenayah mendapati tiga daripada lima tangkapan mempunyai rekod lampau bagi kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
"Tangkapan keempat pula mempunyai rekod di bawah Akta Penapisan Filem dan Akta Dadah Berbahaya manakala warga Pakistan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.
Beliau berkata ujian saringan air kencing juga mendapati tangkapan kedua dan ketiga adalah positif dadah jenis Methamphetamine dan kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga 8 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Shazeli berkata modus operandi sindiket adalah dengan membuat pesanan pembelian melalui panggilan telefon kepada syarikat (mangsa) dan kemudian menyerahkan resit palsu sebagai bukti kononnya pembayaran telah dibuat.
"Sindiket juga akan menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan dari syarikat mangsa, tetapi meminta syarikat pengangkutan menurunkan barangan tersebut di lokasi berlainan daripada alamat yang diberikan dan seterusnya menjual semula barangan tersebut dengan potongan 50 peratus daripada harga asal," katanya.
Sehubungan itu, Shazeli menasihati pemilik syarikat supaya memastikan bayaran daripada pelanggan telah disahkan diterima sebelum sebarang barangan pembelian dilepaskan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket seperti itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami