Singapura melantik Hakim Gilbert Guillaume, bekas Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai hakim ad hoc bagi permohonan Malaysia mendapatkan semakan semula penghakiman ICJ mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) Singapura berkata Guillaume pernah menjadi Anggota ICJ dari 1987 hingga 2005 serta menyandang jawatan presidennya dari 2000 hingga 2003.

Kata kementerian itu, Guillaume kini menjadi Anggota Mahkamah Timbang Tara Tetap.

"Mengikut Statut ICJ, sekiranya tidak terdapat hakim dari negara yang menjadi pihak untuk menganggotai Panel Hakim Mahkamah, maka setiap pihak terbabit boleh memilih seorang hakim ad hoc untuk mengambil bahagian dalam urusan membuat keputusan tentang kes berkenaan," katanya.

BACA: Peguam Negara ketuai pasukan berhubung Pulau Batu Puteh

BACA:
Pulau Batu Puteh: ICJ keluarkan teks permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman

MFA berkata Singapura akan memfailkan hujah komprehensif dan mendorong secara bertulis tentang kebolehakuan permohonan Malaysia menjelang 14 Jun, iaitu had masa yang ditetapkan ICJ.

Pada 2 Feb, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008 mengenai Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam kenyataan yang difailkannya, Malaysia menyebut tentang tiga dokumen yang diubah statusnya baru-baru ini oleh United Kingdom bagi menyokong permohonan itu.

Dokumen berkenaan ialah surat menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada 1958, satu laporan mengenai kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta beranotasi mengenai operasi tentera laut mulai tahun 1960-an.

Dalam penghakimannya, ICJ di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah hak milik Singapura, kedaulatan Batuan Tengah adalah hak milik Malaysia dan kedaulatan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan wailayah mana ia terletak.

Sementara itu, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dilaporkan berkata bahawa Singapura yakin mengenai kesnya terhadap tuntutan Malaysia berhubung Pulau Batu Puteh.

Katanya, pasukan perundangan Singapura percaya sepenuhnya bahawa tiga dokumen yang menjadi sandaran Malaysia dalam permohonannya bagi mengubah keputusan mengenai Pulau Batu Puteh itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi menapatkan semakan semula penghakiman.

"Kami yakin dengan pasukan perundangan kami dan kes kami," katanya di parlimen hari ini seperti yang dipetik Channel NewsAsia.

Beliau berkata setelah mengkaji dengan teliti permohonan Malaysia itu, pasukan perundangan Singapura percaya dokumen berkenaan tidak memenuhi kriteria mengikut Perkara 61.

Menurutnya, Singapura komited untuk menyelesaikan isu itu secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.

-- BERNAMA