Skip to main content

Malaysia

Siri Syarahan Tun Zaki Azmi tekankan nilai kepimpinan, amanah

KUALA LUMPUR, June 19 -- Chief Justice Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh (seventh, left) poses for a photograph at the Tun Zaki Azmi Lecture: Leading with Courage at the Asian International Arbitration Centre today.
Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika menyempurnakan perasmian Siri Syarahan Tun Zaki Azmi dan Inisiatif Kepimpinan & Amanah di ibu negara pada Jumaat. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Legasi sebenar seorang pemimpin bukan diukur menerusi jawatan yang pernah disandang atau penghormatan yang diterima selepas bersara, sebaliknya melalui keadaan institusi yang ditinggalkan untuk generasi seterusnya.

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, kepimpinan yang berkesan ialah kepimpinan yang berjaya membentuk institusi yang mempunyai akauntabiliti, telus dan kekal berpegang kepada tujuan asal penubuhannya.

"Legasi bukanlah apa yang kita tinggalkan untuk diri sendiri. Sebaliknya, legasi ialah apa yang kita tinggalkan untuk orang lain.

"Ia bukan mengenai jawatan yang tertera pada pintu pejabat atau penghormatan yang diterima ketika majlis persaraan. Legasi sebenar ialah keadaan organisasi apabila pemimpin seterusnya mengambil alih. 

“Ia ialah budaya yang diwarisi oleh mereka, sama ada institusi itu menjadi  lebih telus dan setia kepada tujuan asal penubuhannya berbanding ketika kita mula menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Siri Syarahan Tun Zaki Azmi dan Inisiatif Kepimpinan & Amanah di ibu negara pada Jumaat.

Menurut Wan Ahmad Farid, siri syarahan berkenaan bukan sekadar acara berbentuk istiadat, sebaliknya diwujudkan sebagai platform bagi menghubungkan pengalaman tokoh kepimpinan terdahulu dengan bakal pemimpin masa hadapan.

"Siri Syarahan Tun Zaki mengenai Kepimpinan dan Amanah ini bukan sekadar satu siri syarahan berbentuk istiadat. Ia merupakan satu usaha yang serius dan berterusan untuk mewujudkan dialog yang hidup antara mereka yang pernah memimpin dengan mereka yang sedang bersedia untuk memimpin," ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif penyelidikan yang diperkenalkan seiring dengannya pula akan memberi tumpuan kepada penghasilan penyelidikan yang bersifat praktikal dan relevan dalam membantu pemimpin mengurus institusi yang berdepan pelbagai cabaran.

"Ia bukan teori semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan ilmu yang benar-benar boleh dimanfaatkan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Wan Ahmad Farid turut berkongsi pesanan Allahyarham bapanya yang pernah berkhidmat sebagai penjawat awam sepanjang hayat, agar tidak leka apabila diberikan amanah memegang jawatan tinggi.

"Allahyarham bapa saya, yang berkhidmat sebagai penjawat awam sepanjang hayatnya, sentiasa mengingatkan saya bahawa jika suatu hari saya melangkah masuk ke sebuah pejabat yang besar, jangan sesekali hanyut dengan kedudukan itu. Sebaliknya, sentiasalah memikirkan hari apabila kita meninggalkannya, dan tinggalkanlah satu legasi yang boleh dibanggakan oleh negara," katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebagai contoh terbaik seorang pemimpin yang meninggalkan legasi sedemikian. 

Siri Syarahan Tun Zaki Azmi dinamakan sempena nama beliau sebagai penghargaan terhadap sumbangan berterusan beliau dalam pentadbiran keadilan, pembangunan institusi dan perkhidmatan awam.

Siri syarahan berkenaan diwujudkan sebagai wadah wacana mengenai kepimpinan, amanah, tadbir urus, keadilan serta kepercayaan terhadap institusi.

Pelancarannya turut menandakan permulaan Inisiatif Kepimpinan & Amanah, iaitu usaha yang bertujuan memupuk kepimpinan bertanggungjawab, memperkukuh kepercayaan terhadap institusi serta mendokumentasikan pengalaman dan pengajaran tokoh-tokoh kepimpinan untuk manfaat generasi akan datang.
 

Must Watch Video

Advertisement