KUALA LUMPUR: Sistem cukai kepenggunaan semasa iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu memberi kesan fiskal yang lebih cepat kepada negara berbanding pelaksanaan cukai nilai tambah seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata kerajaan belum berhasrat untuk memperkenalkan semula GST bagi memberi laluan kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi pada tahun ini.

"Pelaksanaan GST akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutamanya mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.

"Kerajaan akan terus mengutamakan dan menambah baik sistem percukaian sedia ada dan memperkenalkan cukai yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyelarasan dan penelitian semula cukai sedia ada kepada satu sistem.

-- BERNAMA