Ini disebabkan oleh sistem pendidikan sedia ada masih di takuk lama serta tidak menggalakkan golongan pelajar meneroka sepenuhnya potensi mereka menerusi internet.
Kenyataan ini tidak dipersetujui Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pendidikan UKM, Prof Madya Dr. Norazah Mohd Nordin yang percaya sistem pendidikan Malaysia sedang berada di era transformasi.
“Saya kurang bersetuju dengan pendapat Sugata Mitra, bagi saya sistem pendidikan kita sekarang sedang mengalami era transformasi ke arah menghadapi generasi digital. Kita juga sedang dalam pesat dalam teknologi web” katanya kepada Astro AWANI.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan juga menyatakan perkara yang sama iaitu sistem pendidikan Malaysia tidak ketinggalan zaman seperti yang dinyatakan Sugata Mitra.
“Sistem pendidikan kita sedang ke arah transformasi, sebagai contohnya jika dahulu kita menekankan 3M (membaca, menulis, mengira) sekarang 4M (membaca, menulis, mengira, menaakul) serta kita juga kini mengutamakan dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia” katanya ketika dihubungi.
Mengubah bidang latihan guru adalah contoh inovasi yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah atau kekangan pendidikan sekarang.
Itu kata Pakar Sokongan Pendidikan UKM, Prof Madya Dr. Rosseni Din yang turut mengatakan sistem pendidikan yang berteraskan digital dapat dimanfaatkan oleh semua.
“Seperti sekarang kita ada banyak latihan perguruan namun implementasinya tidak nampak. Mungkin kita perlu mengubah cara kita membuat latihan” katanya Rosseni.
Mereka berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam Buletin Awani 7:45 yang membincangkan mengenai inovasi dalam sistem pendidikan Malaysia.