KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, yang bersara wajib pada 7 Julai lalu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal serta menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan sama memaklumkan, Siti Asiah, 51, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.
Sebelum pelantikan tersebut, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau turut terlibat dalam pelbagai inisiatif strategik negara termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU), penyediaan statistik kos sara hidup serta usaha memperkukuh Sistem Statistik Negara.
Siti Asiah memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kepakaran beliau turut diiktiraf menerusi penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN serta organisasi antarabangsa berkaitan.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi memaklumkan struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh dengan pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).