Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Selain Siti Nurhaliza, 38, tiga selebriti lain turut menerima anugerah kebesaran ialah pelakon Datuk Eizlan Yusof atau nama sebenarnya, Datuk Idris Md Yusof yang turut menerima SSAP manakala Ketua Pengarah Eksekutif Jovian Mandagie Sdn Bhd, Jovian Mandagie dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Pelakon kelahiran Singapura, Adi Putra atau Mohamed Hadi Putera Halim yang merupakan Penaung Pertubuhan Johor 1 Care Society pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk.

Kesemua selebriti itu antara 101 individu menerima darjah kebesaran Pahang yang didahului oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang turut menerima SSAP.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyempurnakan istiadat pengurniaan darjah dan pingat di Balairong Seri, Istana Abu Bakar.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Antara penerima SSAP lain ialah Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Rahman Md Yunos, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Ramlan Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek.

Turut menerima SSAP ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Ketua Perangkaan Jabatan Perangkaan Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Zulkifli Abu Bakar, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Datuk Dr Sallehuddin Ishak, Wakil Tetap dan Duta Besar Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.