NATIONAL
Situasi jangkitan HFMD di Selangor terkawal - Exco

Jamaliah berkata bilangan kes dikesan meningkat dengan lebih ketara dari ME 15 hingga ME 19/2025, iaitu selepas minggu pertama perayaan Aidilfitri. - Gambar fail
SHAH ALAM: Situasi semasa penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor terkawal dan menunjukkan tanda awal pemulihan susulan langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan secara bersepadu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata setakat Minggu Epidemiologi 19, tahun ini (ME 19/2025) yang berakhir pada 10 Mei lepas, Selangor mencatatkan sebanyak 39,233 kes HFMD.
Beliau berkata bilangan kes dikesan meningkat dengan lebih ketara dari ME 15 hingga ME 19/2025, iaitu selepas minggu pertama perayaan Aidilfitri.
"Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes ialah pergerakan orang ramai yang lebih aktif, aktiviti kunjung-mengunjung, interaksi rapat antara kanak-kanak di kawasan tumpuan seperti rumah saudara-mara, serta perkongsian makanan dan permainan."Faktor lain yang dikenal pasti ialah kelonggaran saringan pintu masuk di fasiliti jagaan kanak-kanak bagi mengenal pasti kanak-kanak bersimptom bagi tujuan pengasingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak sembilan kes melibatkan varian Enterovirus 71 (EV71) turut dilaporkan, iaitu tujuh kes di Sabak Bernam dan dua di Hulu Langat dengan seorang pesakit di Sabak Bernam telah dimasukkan ke wad dan telah pulih sepenuhnya manakala lapan lagi kes menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Jamaliah berkata kebanyakan kluster HFMD di Selangor berlaku terutamanya di institusi penjagaan dan pendidikan kanak-kanak termasuk di taska, tadika, prasekolah, pusat tuisyen (42.8 peratus), sekolah rendah (5 peratus), pusat jagaan harian (3 peratus) dan sekolah menengah (0.2 peratus) manakala 49 peratus di rumah kediaman.
Hingga ME 19/2025 katanya, penutupan premis pendidikan telah dijalankan sama ada secara sukarela atau di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Penutupan secara sukarela melibatkan 63 taska, 81 tadika, 25 tabika, 15 prasekolah, satu pusat jagaan, enam sekolah rendah dan satu premis lain, menjadikan keseluruhan 192 premis.
"Penutupan premis secara penguatkuasaan undang-undang pula melibatkan 168 taska, 157 tadika, 69 tabika, 29 prasekolah, dua pusat jagaan dan 10 sekolah rendah, menjadikan keseluruhan 435 premis ditutup," katanya.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah mengeluarkan arahan untuk meningkatkan pengambilan sampel, terutama di lokasi melibatkan institusi dan kes-kes yang dimasukkan ke wad, bagi tujuan pemantauan dan pengesanan varian virus yang lebih berkesan.
Jamaliah turut menasihati ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak yang mempunyai gejala ke pusat penjagaan atau pendidikan dan memastikan mereka kekal berada di rumah sehingga sembuh bagi mengelak penularan jangkitan.
Beliau berkata pengusaha institusi pendidikan awal kanak-kanak juga disarankan untuk tidak menerima kanak-kanak yang bergejala, melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk dan mengekalkan tahap kebersihan premis pada paras optimum.
Katanya sebagai tambahan, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengedarkan bahan maklumat lengkap berkaitan HFMD, termasuk langkah-langkah pencegahan serta tanda-tanda gejala kepada taska dan tadika di kawasan yang mencatatkan kes tinggi.
"Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan pada peringkat komuniti. Kerajaan negeri komited untuk bekerjasama erat dengan JKNS dan semua agensi berkaitan dalam memastikan wabak ini dapat dikawal dengan berkesan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami