BAU: Situasi jangkitan malaria di kawasan Ulu Baram yang terletak di utara Sarawak dilaporkan masih terkawal, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata orang ramai yang berada di kawasan berkenaan dinasihatkan agar tidak bimbang memandangkan kesemua prosedur dan tindakan bagi mencegah penularan wabak malaria telah diambil oleh pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

"Saya sedang menunggu laporan lebih lanjut daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri... memandangkan keadaan di sana, contohnya di Long Lellang, mungkin terdapat aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan malaria berlaku," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan seorang doktor yang bertugas di Miri telah memberi peringatan agar petugas kesihatan mengambil tindakan secepat mungkin bagi mengelak kemungkinan penularan jangkitan malaria susulan sekurang-kurangnya dua kes baharu wabak itu dilaporkan di kawasan Ulu Baram.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata Pejabat Daerah Bau akan dikosongkan untuk dijadikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak buat sementara waktu sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Hospital Bau.

Beliau berkata ia adalah pelan jangka masa pendek Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum menyediakan dana untuk membina bangunan dan menaik taraf Hospital Bau.

"Jadi kesesakan di Hospital Bau akan dapat dikurangkan kerana kesesakan di hospital itu bukanlah seperti kesesakan yang berlaku di bandar lain ataupun di bandar kuching, tetapi perkhidmatan menunggu yang tidak selesa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata Hospital Bau yang sudah berusia lebih 30 tahun perlu ditambah baik kerana terlalu sesak dengan bangunannya yang sudah usang.

Oleh itu, Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru berkata kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian dengan memberi peruntukan yang lebih bagi menangani masalah berkenaan.

-- BERNAMA