KUALA LUMPUR: Situasi ekonomi Malaysia ketika ini tidak boleh disamakan dengan krisis kewangan pada 1998 kerana pada masa itu nilai mata wang ringgit, dan pelaburan jatuh, selain berlaku inflasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, ekonomi negara kini mencatatkan pertumbuhan tinggi walaupun mata wang tempatan sedang melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) catat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun serta pengangguran turut berkurangan.

"(Selain itu) pertumbuhan ekonomi adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange (TEX) sebagai Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa nilai ringgit.

Anwar juga mengulas kritikan yang dilemparkan kepadanya selepas memaklumkan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan kenyataan mengenai ringgit.

"Ringgit ada kesan dia dan saya tidak mahu mengatakan tidak harus dipantau oleh BNM, tetapi eksport itu baik kerana saya jumpa syarikat pengeksport, dia sangat senang tetapi sebaiknya ringgit itu agak terkawal.

"Tetapi mengapa harus dilihat hanya dari segi ringgit dan dibandingkan dengan 1998, kerana seperti mana yang saya sebut tadi ringgit jatuh, pelaburan jatuh, dan inflasi naik. Jadi ia tidak sama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar berkata angka terakhir bagi pelaburan negara yang diumumkan semalam iaitu RM329.5 bilion pada 2023, adalah tertinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia.