KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangsari menepati ramalan apabila mudah melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia 2024 di Kaherah, Mesir semalam.

Berbekalkan momentum muncul juara Kejohanan Skuasy Klasik London bulan lepas, atlet kelahiran Kedah itu tidak berdepan masalah untuk mara selepas mengetepikan wakil Latvia Ineta Hopton 11-6,11-8,11-8.

Menanti Sivasangari di pusingan kedua antara wakil Kanada Nicole Bunyan dan wakil Amerika Syarikat Caroline Fouts, yang akan bertemu dalam satu lagi aksi pusingan pertama semalam.

Seorang lagi wakil wanita negara Noor Ainaa Amani Ampandi pula terkandas selepas tunduk kepada Marie Stephan dari Perancis 10-12,11-7,12-10,11-7.

Bagi kategori lelaki, Ng Eain Yow turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Perancis Baptiste Masotti 11-9,11-8,11-5, sekali gus menempah pertemuan dengan wakil Jepun Ryunosuke Tsukue di pusingan kedua.

-- BERNAMA