PUTRAJAYA: Perjanjian strategik antara Malaysia dan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings akan diteruskan seperti dirancang.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia akan dilaksanakan seperti yang diputuskan Kabinet, meskipun siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan perjanjian tersebut sedang dijalankan.
Advertisement
"Kita ambil maklum mengenai proses siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita memberikan kerjasama. Malah, dari segi dokumen juga perkara itu kita permudahkan. Cuma pada masa sama, kita tahu dari segi keputusan negara (yang) menjalinkan hubungan dengan Arm Holdings adalah keputusan mandate daripada Kabinet," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Putrajaya pada Isnin.
Minggu lepas, tiga pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan bekas Menteri Ekonomi.
Sementara itu, Rafizi Ramli, menerusi ciapan di platform X menyatakan kesediaan beliau untuk disiasat selepas dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi antara beberapa individu yang mungkin dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kontrak bernilai RM1.1 bilion itu.