KUALA LUMPUR:Kerajaan akan membina lapan buah menara telekomunikasi bagi menambah baik kemudahan internet untuk Orang Asli, termasuk dua di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau, Cameron Highlands.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kesemua lapan menara itu akan dibina, dan dijangka siap secara  berperingkat, bermula suku tahun pertama 2021.

Katanya, kemudahan telekomunikasi di perkampungan Orang Asli di negara ini sentiasa dipertingkat bagi memastikan masyarakat itu, khususnya generasi muda, tidak ketinggalan dalam era yang serba serbi digital.

“Sehingga Oktober 2020, sejumlah 61 menara telekomunikasi telah dibangunkan dan memanfaatkan lebih ramai masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

“Terkini, lapan (8) menara sedang dilaksana dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

"Jumlah ini termasuk menara di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau di Cameron Highlands, Pahang,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, sejumlah 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands telah dinaik taraf daripada menggunakan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G.

Sembilan daripadanya, termasuk di dalam kawasan Pos Menson, telah siap dibina pada Oktober 2019 dan telah selesai dinaik taraf kepada liputan 4G pada 5 November lalu.

“Penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi kawasan Cameron Highlands akan giat ditingkatkan seperti yang dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi kepada perkhidmatan 4G akan membantu masyarakat Orang Asli di Pos Menson serta kampung sekeliling menikmati capaian internet yang lebih baik,” katanya.

SKMM berkata, langkah itu dapat menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi yang semakin meningkat.

Dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, SKMM berkata, masyarakat Orang Asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar.

“Mereka boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar,” tambahnya.