MALAYSIA
SMP 2025: Prasarana sedia tujuh bas perantara ke Stadium Batu Kawan mulai esok

Inisiatif tersebut bertujuan memudahkan orang ramai merancang perjalanan untuk menghadiri pelbagai program dan aktiviti sempena sambutan yang berlangsung empat hari itu. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Tujuh bas perantara Rapid Penang akan disediakan kepada orang awam untuk ke Stadium Batu Kawan bersempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan yang bermula esok hingga 20 Julai ini.
Ringkasan AI
- Bas Perantara Percuma ke SMP 2025: Rapid Penang menyediakan tujuh bas percuma dari Sungai Nibong dan Seberang Jaya ke Stadium Batu Kawan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 dari 17 hingga 20 Julai, dengan kekerapan setiap 60 minit.
- Pelbagai Aktiviti Menarik Menanti Pengunjung: Sebanyak 35 aktiviti disediakan termasuk pameran etnik, rumah budaya, persembahan seni, dan Pavilion Perpustakaan Malaysia di pekarangan stadium.
- Majlis Perasmian oleh Perdana Menteri: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan pada 19 Julai jam 10.30 pagi, menandakan kemuncak acara empat hari tersebut.
"Bagi laluan Sungai Nibong ke Batu Kawan di bahagian pulau, orang ramai yang berhasrat untuk ke stadium boleh menunggu di Tapak Pesta Sungai Nibong dan waktu operasi bermula 9 pagi hingga 10.30 malam pada 17 hingga 19 Julai manakala pada 20 Julai dari 9 pagi hingga 6.30 petang dengan kekerapan 60 minit.
"Di seberang pula bagi laluan Seberang Jaya ke Batu Kawan, terdapat dua lokasi menunggu iaitu di Hotel Blanket dan Bank Rakyat Perda bermula 9 pagi hingga 10.45 malam pada 17 hingga 19 Julai manakala pada 20 Julai dari 9 pagi hingga 6.45 petang dengan kekerapan sama," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha murni oleh Prasarana Berhad dalam menyediakan perkhidmatan bas itu jelas mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sistem pengangkutan awam yang inklusif dan mesra rakyat.
"KPN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad atas inisiatif menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma kepada orang ramai," katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Ku Jamil Zakaria pula berkata Rapid Bus komited dalam usaha menyediakan bas perantara bagi kemudahan orang ramai untuk menghadiri SMP 2025.
Sebanyak 35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena SMP 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Majlis perasmian sambutan itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, 19 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami