KUALA LUMPUR: Unifi Business mengajak rakyat Malaysia menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan memuat naik gambar perniagaan PMKS kegemaran mereka dan meletakkan kapsyen yang kreatif di media sosial masing-masing

Ketua Unifi Business, TM, Mohamad Yusman Ammeran berkata, orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah utama bernilai RM1,888 menerusi kempen #BelanjaDISME dan #SapotLokal anjuran mereka.

Menurutnya, orang awam masih mempunyai banyak masa untuk menyertainya kerana kempen itu berlangsung selama sebulan, bermula 27 Jun hingga 26 Julai 2023.

"Ambil gambar dan video, dan kedua, kongsikan di media sosial mereka dan kemudian letakkan #BelanjaDiSME dan #SapotLokal dan mereka berpeluang memenangi wang tunai, baucar membeli-belah dan peranti pintar.

"Yang menariknya, peniaga yang mereka kongsikan di laman sosial juga berpeluang memenangi hadiah pemasaran digital untuk meningkatkan perniagaan merak.

"Jom, kita ramai-ramai sokong perniagaan mikro dan kecil tempatan dengan #SapotLokal dengan #BelanjaDiSME," katanya.

Sementara itu, salah seorang PMKS iaitu Pengasas My Mum's Bakery, Anne Idris berkongsi keterujaan beliau apabila diiktiraf oleh Unifi Business sebagai contoh usahawan tempatan yang berjaya beralih ke perniagaan dalam talian.

"Sambutan sangat menggalakkan sebab bila kita guna platform digital, perniagaan kita dikenali di seluruh dunia kalau kita pandai menggunakan ‘hashtag’, pandai gunakan promosi, guna semua yang ada.

"Macam saya, saya menggunakan beberapa platform seperti Instagram, Facebook, TikTok dan sebagainya," ujarnya.

Unifi Business turut berkolaborasi dengan SME Corp Malaysia sebagai Rakan Teknologi Eksklusif yang melibatkan roadshow di enam lokasi di seluruh negara.

Selain itu, Unifi Business turut berkerjasama dengan Astro AWANI sebagai penaja utama untuk acara Jiwa SME 2023 yang akan menjejah ke Sabah, Johor Bahru, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bermula Julai sehingga November 2023.


Sokong PMKS, Unifi Business tawar ganjaran menarik