Hasrat 70 pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP) yang selama ini bercita-cita membawa nama negara di pentas dalam orkestra bakal direalisasikan apabila mengesahkan tempat untuk bertanding di New York Wind Band Festival (NYWBF 2015) yang akan berlangsung pada bulan Mac ini.

Pengetua Cemerlang SSP, Siti Rogayah Yahya berkata, impian pasukan Wind Orkestra SSP yang dikenali dengan nama SP Winds itu disifatkan tercapai apabila jualan meja untuk mengutip dana pada majlis makan malam amal mereka habis dibeli penyumbang.

"Semua 65 meja habis terjual pada majlis Makan Malam Amal Florishes 2015 malam ini. Ia merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Sokongan Ibubapa SPWinds dan PIBG Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.

"Syukur, kita kini memperolehi dana mencukupi untuk menghantar seramai 70 orang pelajar (Orkestra SP Winds) bertanding di New York Wind Band Festival (NYWBF 2015) yang akan berlangsung pada Mac," katanya semasa berucap pada majlis berkenaan yang berlangsung pada malam Jumaat.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tetamu kehormat.

Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran artis ternama seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Haleeda dan Fazli Zainal.

Selain itu kata Siti Rogayah, kutipan itu turut membantu manambah dana PIBG bagi melengkapkan prasarana di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, lebih membanggakan katanya, pada majlis makan malam tersebut, SP Winds turut dianugerahkan dianugerahkan Sijil Malaysia Book of Record (MBR) untuk pencapaian cemerlang yang dicapai pada tahun 2014.

"Kumpulan ini berjaya menjadi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang pertama memenangi pingat emas di Festival Muzik Belia Antarabangsa; Summa Cum Laude; Vienna, Austria tahun lepas," jelasnya.

Katanya lagi, SP Winds dijadualkan membuat persembahan di Stern Auditorium, Carnegie Hall, New York pada 9 Mac depan.

"Adalah menjadi harapan pihak sekolah SP Winds akan membuat persembahan terbaik sekaligus mencipta satu lagi sejarah untuk memenangi anugerah tertinggi di pertandingan itu nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi PIBG SSP, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengesahan tempat SP Winds pada pertandingan itu kelak bakal mengharumkan nama negara dengan imej perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

"Alhamdulillah, dana untuk mereka ke New York sudah mencukupi dan kini SP Winds harus membuktikan kemampuan mereka dalam membawa nama negara ke persada dunia dalam orkestra.

"Kita bangga dengan semangat yang mereka ada, kita kagum dengan persembahan yang ditunjukkan dan ucapan terima kasih juga harus diberikan kepada semua penyumbang yang menjadikan impian mereka satu kenyataan," jelasnya.

SP Winds sebelum ini pernah memenangi 'Anugerah Emas' dalam Festival Wind Orchestra SBP yang berlangsung di Dewan Konvokesyen Kampus UNITEN Putrajaya.

Pada masa itu, kumpulan itu mempersembahkan dua lagu iaitu 'Nuansa Tanah Air' dan 'Hans Christian Andersen Suite'.