Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merancang memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) pada 1 Jan 2017 untuk perkhidmatan tren dan bas di Lembah Klang.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata SPAD bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan penyelesaian terbaik bagi pelaksanaan sistem baharu itu.

Kad transit baharu itu akan membolehkan penumpang termasuk pelancong melakukan perjalanan di mana-mana sahaja menaiki tren dan bas di Lembah Klang menggunakan kad tunggal, katanya pada taklimat media mengenai perkhidmatan rel bersepadu, di sini hari ini.

Beliau berkata SPAD percaya pelaksanaan ICPS akan menjadi tarikan kepada pelancong kerana ia memudahkan mereka untuk melakukan perjalanan di sekitar Lembah Klang.