Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden yang berlaku di KLIA pada minggu lalu itu merupakan kejadian yang besar serta sensitif dan sebarang andaian hanya akan mengeruhkan keadaan.

Beliau berkata, langkah yang terbaik ketika ini ialah memberi ruang kepada pihak pihak kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jawatankuasa di peringkat kementerian untuk melakukan siasatan.

"Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

"Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian," katanya pada sidang media, di sini hari ini," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya siang tadi.


Rabu lalu, berlaku kegagalan sistem TAMS di KLIA selama empat hari sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada para penumpang.

Sistem tersebut telah distabilkan pada Sabtu lalu dan sehingga kini sedang dipantau oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) iaitu selaku pengendali lapangan terbang.

Untuk rekod, sehingga kini polis telah mengambil keterangan lapan orang individu berhubung kes ganguan rangkaian operasi berkenaan termasuk empat pakar teknologi maklumat (IT) MAHB.

Menurut Anthony, jawatankuasa ini diberikan tempoh selama sebulan untuk menyiapkan laporan terperinci kepada jemaah menteri sebelum langkah-langkah termasuk penambahbaikan diambil.

Jelasnya, apa-apa yang berlaku perlu disiasat secara terperinci dan mana-mana pihak termasuk operator diminta jangan membuat sebarang andaian dalam kes in. biar pihak berkuasa jalankan siasatan.