Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk melahirkan pegawai berkepakaran tinggi dan terlatih bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tugasnya untuk memerangi rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (APRM) menggunakan model latihan yang mempunyai standard dan tanda aras tinggi untuk melahirkan pegawai bertaraf profesional serta memenuhi keperluan semasa.

"Model latihan yang diperkenalkan oleh APRM ini mempunyai standard dan tanda aras yang tinggi, selari dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Agensi PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) berikutan pematuhan SPRM terhadap Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC)," katanya.

Berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 13 Bil 1/2013 (Penolong Penguasa Gred P29) di Dataran Kawad, Kompleks SPRM Johor di sini Khamis, beliau berkata selain menjalani latihan komprehensif selama 12 bulan, prestasi pegawai kadet juga diukur mengikut kelas.

Menurutnya, UNODC mengiktiraf APRM, yang beroperasi sejak 2005, sebagai penyedia latihan antarabangsa.

Berikutan pengiktirafan itu, APRM mengkaji semula model Kursus Latihan Asas kendaliannya dan memanjangkan tempohnya daripada tiga hingga enam bulan kepada 12 bulan untuk meliputi latihan kerja dan psikologi.

Fasa pertama melibatkan sesi pembelajaran selama lima bulan, yang mengandungi tiga program utama iaitu akademik (60 peratus), pengukuhan nilai dan etika (25 peratus) serta kemahiran dan fizikal (15 peratus).

Bagi program akademik, kadet perlu menduduki empat modul utama iaitu Modul Transformasi Minda dan Pentadbiran Am, Modul Undang-Undang dan Mahkamah, Modul Perisikan dan Modul Penyiasatan.

Bagi program pengukuhan nilai dan etika, mereka perlu menduduki Modul Teambuilding, Modul Tauhidik, Modul Pembinaan Karekter, Modul Janjiku dan Modul Nilai Murni serta Program Kesedaran Asas Anti Rasuah (B-CAP 1).

Dalam Fasa II, kadet perlu mengikuti program utama selama tujuh bulan iaitu Program Pementoran, Program Pemantapan (enam bulan) dan Program Penilaian Keseluruhan (sebulan).

Program Pementoran terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu pelantikan Mentor dan penempatan Menti, KPI tugasan (Input dan Output) dan Laporan Penilaian Keseluruhan Program Pementoran.

Sebanyak 27 kadet lelaki dan 16 kadet wanita muncul sebagai kumpulan graduan pertama model latihan itu hari ini.

Pada majlis itu juga, Abu Kassim menyampaikan Anugerah Ketua Pesuruhjaya SPRM (Kadet Terbaik Keseluruhan) kepada Penolong Penguasa Mohd Idrus Nazri; Anugerah Khas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) kepada B. Malani Devi; Anugerah Pengarah APRM (Kadet Terbaik Akademik) kepada Mohd Ihsan Sapuan; Anugerah Komandan (Kadet Terbaik Latihan Luar/Lelaki) kepada Adika Azwan Zailan; dan Anugerah Komandan (Kadet Terbaik Latihan Luar/Perempuan)kepada Nurmila Awang.