Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya telah membekukan akaun cucu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penafian itu dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.“Akaun cucu Najib tidak pernah dibekukan,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian, sebentar tadi.

Terdahulu, anak Najib, Nooryana Najwa mempertikaikan tindakan kerajaan membekukan akaun peribadinya dan juga anaknya berusia 10 bulan selepas beliau selesai membayar jaminan untuk bapanya, semalam.

Beliau telah memuat naik rasa tidak puas hati itu dalam laman Facebook miliknya mendakwa pihak bank menghubunginya dan memaklumkan mereka menerima arahan untuk membekukan akaunnya, semalam.

BACA: Anak Najib persoal mengapa akaun peribadinya dibekukan

Menurutnya, akaunnya itu digunakan untuk membayar yuran pengajiannya manakala wang berjumlah RM 500,000 diperolehi untuk jaminan bapanya, semalam, dikumpul daripada rakan-rakan dan saudara-maranya.

Semalam, Norashman dan Nooryana Najwa sebagai penjamin selesai membayar jaminan RM500,000 di kaunter Maybank cawangan mahkamah jam 2.45 petang.

Manakala, baki RM500,000 daripada jaminan RM 1 juta dikenakan kepada Najib akan dilunaskan pada Isnin.