Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan bertoleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat.

"SPRM telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek," katanya dalam kenyataan media merujuk pada laporan polis yang dibuat oleh tiga anggota berkaitan diserang oleh pegawai SPRM.

Kata beliau lagi, dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

"Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

"Satu laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM tersebut yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu.

"SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan tersebut," jelasnya.

Pada Jumaat, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam mendakwa pegawai SPRM telah membuat serangan ke atas polis yang ditahan bagi membantu siasatan.

Laporan polis oleh SPRM berhubung dakwaan serangan dalam tahanan pada Jumaat