Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan semalam tidak akan merugikan 'poket rakyat', kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, pelaksanaan cukai baharu yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat malah kerajaan persekutuan akan menggunakan hasil dana tersebut untuk pembangunan negara.

"Kita dalam jemaah menteri mahu SST ini supaya dapatkan pungutan cukai dan dana untuk kerajaan memajukan negara.

"Apa yang kerajaan akan kutip itu bermaksud apa yang rakyat berikan akan berbalik kepada poket rakyat," katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah 2018 di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua dan Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR, turut berkata agenda utama persidangan mesyuarat PKR Sabah kali ini adalah bagi menentukan hala tuju kepimpinan parti dalam menerajui tampuk kerajaan baharu.

"Saya kira dengan kehadiran ramai pewakilan dari seluruh Sabah ini, membuktikan semua berminat dalam hala tuju negara kita, bagaimana ia dapat dipertingkatkan terutamanya kemajuan dan pembangunan Sabah.

"Itu yang kita mahu, terutamanya apabila saya mendengar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan bagaimana kemampuan kita boleh dapatkan perjanjian masa dulu dan bagaimana (kerajaan) persekutuan memajukan Sabah," katanya.

Dalam mesyuarat pada hari ini, lebih 1,000 perwakilan dari 25 PKR Bahagian seluruh negeri Sabah hadir bagi mendengarkan amanat dari Presiden parti itu.