Ketua Pembangkang Malaysia sekurang-kurangnya berhak menikmati pengiktirafan setaraf dengan Menteri Kabinet atau Yang di-Pertua (Speaker), menurut satu badan pemikir pro-Pakatan.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk “meneladani kesungguhan Kerajaan Selangor untuk mengamalkan pengiktirafan Ketua Pembangkag”.

“Sesungguhnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Westminster seperti negara negara Komanwel yang lain, pengiktirafan terhadap kedudukan Ketua Pembangkang di Malaysia seharusnya dipertingkatkan dari segi saraan dan elaun pelbagai bentuk,” kata Pengarah Eksekutif KPRU Ooi Heng.

Tambah beliau, pengiktirafan kedudukan Ketua Pembangkang adalah mustahak bagi merapatkan jurang saraan dan elaun antara Ketua Pembangkang dengan Menteri-menteri Kabinet atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

'Give Opposition leader Cabinet Minister status'

“Di samping itu, KPRU berpendapat bahawa Pejabat Ketua Pembangkang patut diberi peruntukan untuk menggaji kakitangan bagi menjalankan pelbagai tugas merangkumi pegawai penyelidik, pegawai media, pembantu eksekutif dan sebagainya seperti di negara-negara lain.”

Ooi berkata peruntukan ini adalah penting bagi membolehkan pejabat Ketua Pembangkang memperolehi tenaga kerja yang mencukupi dalam menjalankan kewajipannya sebagai seorang pemimpin pembangkang dan juga wakil rakyat dengan lancar.

Pada 9 Oktober, Negeri Selangor telah memberi elaun istimewa berjumlah RM8,620 kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setiap bulan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Ini dilakukan sebagai pengiktirafan dan penghormatan terhadap peranan Ketua Pembangkang.

Ooi berkata langkah ini merupakan perubahan yang ‘pecah rekod’ bagi memartabatkan dan menjunjung prinsip demokrasi dengan mempertahankan hak suara oposisi.

Mengikut Seksyen 3(1) Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237], seseorang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang berhak mendapat elaun bulanan RM3846.59, di samping elaun bulanan yang diperuntukkan untuk setiap Ahli Dewan Rakyat yang berjumlah RM6508.59, iaitu sejumlah RM10355.18.

Bagi Yang di-Pertua Dewan Rakyat pula, saraan beliau ialah RM14907.20 selain daripada elaun bulanan yang kena dibayar kepada ahli Dawan Rakyat, iaitu RM6508.59, tidak kira sama ada Yang di-Pertua itu seorang Ahli Dewan Rakyat atau tidak.

Secara keseluruhannya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhak mendapat sejumlah RM21415.79.

Saraan dan elaun bulanan bagi Menteri adalah sama dengan yang dibayar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, iaitu RM14907.20, ditambah pula dengan elaun RM6508.59, sekiranya beliau merupakan Ahli Dewan Rakyat.