KUALA LUMPUR: Perjuangan legenda rali negara, Karamjit Singh diangkat menerusi filem jenama STING hasil kerjasama dengan 'Terbang' sempena sambutan Hari Malaysia.
Inisiatif itu mengetengahkan perjalanan seorang anak Malaysia yang mengatasi kekangan sumber untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia, sekali gus membawa nama negara ke pentas rali antarabangsa.
Karamjit memulakan langkah ketika peluang penajaan, sistem sokongan profesional dan pendedahan menerusi media sosial belum tersedia seluas hari ini.
Namun, keterbatasan itu tidak mematahkan impiannya untuk terus bersaing, sebaliknya membentuk disiplin, ketahanan dan keazaman yang menjadi asas kepada kejayaannya.
Filem berkenaan tidak hanya menyorot pencapaian Karamjit di litar, tetapi turut membawa penonton mendekati pengorbanan serta usaha bertahun-tahun yang jarang diketahui di sebalik kejayaan tersebut.
Menerusi kerjasama itu, STING mahu memperkenalkan semula kisah wira sukan tempatan berkenaan kepada generasi baharu yang lebih mengenali ikon sukan antarabangsa.
Kisah Karamjit turut menjadi peringatan bahawa kejayaan besar tidak semestinya lahir daripada kelebihan atau keadaan yang sempurna, sebaliknya boleh dibina melalui kegigihan dan keyakinan terhadap kemampuan diri.
Nilai berkenaan selari dengan kedudukan STING sebagai Rakan Minuman Rasmi Formula 1 (F1), sebuah arena sukan yang menuntut lebih daripada sekadar kepantasan.
Dalam persekitaran permotoran berprestasi tinggi, kejayaan turut bergantung pada tumpuan, ketahanan serta persediaan berterusan yang dilakukan jauh daripada perhatian umum.
Persamaan itu menghubungkan penglibatan STING dalam sukan permotoran dengan perjalanan Karamjit yang terus mengejar impiannya meskipun berdepan pelbagai halangan.
Pada masa sama, “Terbang” membawa mesej yang dekat dengan cabaran generasi muda dalam dunia yang sering menjanjikan hasil segera.
Kisah itu menekankan pentingnya mengekalkan komitmen ketika kemajuan terasa perlahan, bangkit selepas berdepan kegagalan dan terus memberi tumpuan walaupun kejayaan masih jauh.
Sempena Hari Malaysia, penghargaan berkenaan bukan sekadar mengenang pencapaian seorang atlet, tetapi meraikan ketabahan anak tempatan yang membuktikan kemampuan rakyat Malaysia melangkaui batas dan mencipta nama di pentas dunia.