Skip to main content

Malaysia

STPM 2025: Prestasi Perak meningkat, empat calon dinobat pelajar terbaik peringkat kebangsaan

Ahmad Faidzul (hadapan) menunjukkan info grafik prestasi keputusan STPM negeri Perak di JPN Perak pada Khamis. -- SINAR HARIAN
Ahmad Faidzul (hadapan) menunjukkan info grafik prestasi keputusan STPM negeri Perak di JPN Perak pada Khamis. -Foto Sinar Harian
Advertisement

IPOH: Prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 negeri Perak menunjukkan peningkatan membanggakan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.91 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid berkata, peningkatan sebanyak 0.06 mata itu sekali gus menjadikan pencapaian STPM 2025 sebagai yang terbaik bagi semua kategori sejak sistem semester diperkenalkan pada 2013.

Menurutnya, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh turut meningkat kepada 99.15 peratus berbanding 99 peratus pada 2024.

"Daripada 2,937 calon yang mendaftar dari 58 sekolah, seramai 2,832 calon atau 96.42 peratus hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2025.

"Sebanyak 44 daripada 58 sekolah mencatatkan lulus penuh 100 peratus berbanding 43 sekolah pada tahun sebelumnya," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 negeri Perak di JPN Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 116 calon atau 4.10 peratus berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat 10 orang berbanding 106 calon pada 2024.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 calon adalah daripada aliran sains manakala 106 calon daripada aliran sains sosial.

"Bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A dalam lima mata pelajaran turut meningkat kepada empat orang berbanding tiga calon pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, seramai 112 calon memperoleh 4A berbanding 103 calon pada STPM 2024," katanya.

Ahmad Faidzul berkata, Perak turut mencatatkan kejayaan apabila 100 peratus calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Beliau berkata, daripada 23 mata pelajaran yang ditawarkan, sebanyak 22 mata pelajaran mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 80 peratus kecuali Matematik (T) dengan 66.27 peratus.

"Mata pelajaran Tahfiz Al-Quran pula mengekalkan prestasi lulus penuh 100 peratus selama empat tahun berturut-turut.

"Sebanyak 17 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dari segi prestasi lulus penuh berbanding tahun 2024," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faidzul memaklumkan empat calon dari Perak telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan mengikut kategori masing-masing.

Mereka ialah Ng Yu Yong (aliran Sains) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tsung Wah, Kuala Kangsar dengan pencapaian 5A; Poh Qing Kang (aliran Sains Sosial) dari SMK Methodist (ACS) Sitiawan dengan pencapaian 5A; S Bavani (Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Bahasa Tamil) dari SMK Methodist (ACS) Sitiawan dengan pencapaian 3A, 1A, 1B dan R Nanthini (Calon Berkeperluan Khas) dari SMK Ambrose, Ayer Tawar dengan pencapaian 4A

Beliau turut memuji pencapaian calon Orang Asli apabila tujuh daripada 17 calon berjaya memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding hanya dua calon pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan pencapaian calon yang memperoleh PNGK 2.00 ke atas memberi petanda lebih ramai lepasan STPM 2025 berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti awam. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement