KUALA LUMPUR: Seorang daripada empat rakyat Malaysia akan mengalami strok menjelang 2040 jika tiada langkah pencegahan diambil, menurut tinjauan Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide pada 2016.

Lebih menakutkan apabila pesakit strok kini semakin muda dan sebenarnya, satu dalam empat kes strok berlaku terhadap golongan di bawah umur 50 tahun.

Penolong Pengarah Perubatan dan Perunding Perubatan Kecemasan dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Lee Tuan Cheong berkata, strok adalah punca kematian utama ketiga di Malaysia.

"Menurut Pendaftaran Strok Kebangsaan, terdapat 47,911 kejadian strok dilaporkan pada 2019, bermakna kira-kira 130 orang mengalami strok setiap hari di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, negara juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan kebanyakan pesakit mempunyai pelbagai masalah morbiditi dengan tujuh daripada 10 pesakit strok perlu bergantung kepada orang lain untuk kelangsungan hidup.

Dr Lee berkata, faktor risiko paling kerap berlaku strok ialah tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol; merokok; obesiti dan tidak aktif fizikal; penyakit jantung atau degupan jantung tidak teratur (fibrilasi atrium) dan sejarah keluarga dengan strok.

Beliau menekankan bahawa penyumbang paling ketara kepada serangan strok ialah tekanan darah tinggi kerana boleh merosakkan dinding arteri, sekali gus menyebabkan ia lebih cenderung untuk menjadi sempit atau membeku yang membawa kepada strok.

Apabila strok menyerang, tanda dan gejala dialami mungkin berbeza bergantung kepada bahagian otak yang terjejas seperti secara tiba-tiba kebas atau lemah pada sebelah badan, kekeliruan atau masalah pertuturan, masalah penglihatan pada sebelah atau kedua-dua belah mata, sukar berjalan atau mengimbangkan badan dan sakit kepala teruk tanpa diketahui punca.

Menurutnya, terdapat juga cara lebih mudah untuk mengingati tanda-tanda strok iaitu B.E.F.A.S.T (B- Imbangan: kehilangan keseimbangan, sakit kepala atau pening, E - Mata: penglihatan kabur, F- Muka: sebelah muka terkulai, A-Anggota: kelemahan lengan atau kaki, S-Pertuturan: kesukaran bercakap, T-Masa: segera hubungi ambulans atau Jabatan Kemalangan dan Kecemasan terdekat).

Dr Lee berkata, adalah penting untuk bertindak cepat dan mendapatkan rawatan perubatan dengan pantas semasa serangan strok kerana ia boleh membantu mengurangkan kerosakan disebabkan oleh strok serta meningkatkan peluang untuk pulih sepenuhnya.

"Segeralah ke hospital semasa permulaan simptom, sebaik-baiknya dalam masa 4.5 jam kerana terapi reperfusi (mewujudkan semula bekalan darah) seperti trombolisis dan trombektomi dalam strok iskemia telah terbukti dapat meminimumkan ketidakupayaan.

"Difahamkan bahawa sehingga 90 peratus kejadian strok boleh dicegah dan disebabkan oleh beberapa risiko boleh diubah suai. Dengan mengetahui faktor risiko ini dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya, anda boleh menurunkan kemungkinan mendapat strok," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pemulihan Pusat Perubatan Sunway, Dr Foong Chee Chong berkata, dengan kemajuan perubatan hari ini, terdapat banyak proses pemulihan yang sesuai untuk mangsa strok, antaranya teknologi robotik, rangsangan otak bukan invasif dan realiti maya yang boleh membantu mangsa strok meningkatkan fungsi dengan lebih baik.

"Satu daripada teknologi canggih itu ialah exoskeleton EksoNR, iaitu sejenis peralatan pemulihan yang dapat membantu pesakit baru pulih daripada strok untuk berjalan semula. Secara umum, rawatan pemulihan ini mengambil masa satu hingga tiga bulan kerana teknologi robotik sedemikian bukan sahaja menyediakan latihan intensif dengan maklum balas tepat malah ia turut menawarkan pelbagai peringkat sokongan bergantung kepada tahap keupayaan pesakit," katanya.

Bagi mereka yang menghidap strok, Dr Foong berkata rehabilitasi merupakan rawatan penting untuk kembali ke tahap kesihatan yang optimum dan pemilihan fasiliti kesihatan dilengkapi dengan kepakaran serta peralatan sesuai dapat menyokong proses pemulihan dengan baik.

Beliau berkata, survivor strok juga boleh melakukan beberapa jenis senaman di rumah sesuai mengikut keperluan individu bergantung kepada tahap strok dialaminya seperti melakukan senaman fleksibiliti, senaman pengukuhan, imbangan, senaman tugas berfungsi dan aerobik.

"Apa yang penting, anda perlu sentiasa berada di samping orang tersayang untuk menyokong perjalanan pemulihan mereka yang panjang. Perlu sentiasa bersabar dan tabah. Walaupun kesihatan mereka mungkin tidak pulih dan berfungsi sepenuhnya, namun mereka masih boleh menjalani kehidupan bermakna walaupun dengan cara lain," katanya. - BERNAMA