KUALA LUMPUR: Gara-gara kesilapan cetakan tarikh pada slip keputusan ujian COVID-19 RT-PCR, menyebabkan seorang wanita mendakwa dia dan suaminya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit kerana terlepas jadual penerbangan ke Pakistan.

Menurut Samsuziyati Kamarozaman, suaminya, Sabbir Hussain yang juga warganegara Pakistan telah melakukan ujian tersebut di sebuah klinik swasta pada 1 Februari lalu dan dijadualkan menaiki penerbangan pada keesokannya ke Lahore pada jam 9.30 malam.

Bagaimanapun jelasnya, catatan pada slip keputusan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa sampel ujian terhadap suaminya itu bertarikh 30 Januari 2022.

“Ia menyebabkan ia tidak menepati syarat tempoh selama 48 jam sebelum membolehkan suami saya menaiki penerbangan yang telah dijadualkan. Lebih malang klinik berkenaan enggan berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

“Urusan suami saya ke sana (Pakistan) adalah penting kerana perlu menyelesaikan urusan perkahwinan kami yang perlu didaftarkan. Kami terpaksa menanggung kerugian harga tiket kapal terbang yang telah kami beli,” jelasnya yang hadir membuat aduan ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

Laporan polis juga telah dibuat oleh pasangan berkenaan di Balai Polis Petaling pada 3 Februari yang lalu.

Ia bertujuan bagi menuntut kos kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu klinik yang didakwa pasangan berkenaan yang terletak di Petaling Jaya, ketika dihubungi Astro AWANI, bagaimanapun menyatakan kesilapan berkenaan bukan daripada pihak mereka sebaliknya adalah kesilapan oleh makmal ujian sampel pesakit berkenaan.

Klinik tersebut menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab atas kesilapan itu dan menyarankan agar individu berkenaan membuat laporan mengenai kesilapan tersebut kepada pihak berkuasa.