KOTA BELUD: Sepasang suami isteri maut selepas terlibat dalam nahas dua kenderaan di Jalan Bukit Kelawat, di sini pada malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 28 tahun tersepit dalam kenderaan jenis Proton Wira.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.42 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 16 kilometer.

"Kemalangan melibatkan Proton Wira dan pacuan empat roda jenis Toyota Revo di mana terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Proton Wira manakala pemandu dan penumpang pacuan empat roda dilaporkan selamat.

"Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seterusnya pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya. - Sinar Harian