MALAYSIA
Subsidi tambang bot harapan penduduk Pulau Aur

Penduduk yang rata-ratanya golongan B40 terpaksa menanggung kos hingga RM210 seorang bagi perjalanan pergi dan balik antara pulau berkenaan dan Mersing. - Gambar/ Bernama
MERSING: Penduduk Pulau Aur di sini berharap kerajaan negeri dapat memperkenalkan subsidi tambang bot bagi memudahkan pergerakan terutama mereka yang perlu berulang-alik bagi mendapatkan rawatan kesihatan selain urusan keluarga.
Ringkasan AI
- Penduduk Pulau Aur yang majoritinya golongan B40 berharap kerajaan negeri Johor memperkenalkan subsidi tambang bot seperti di Pulau Tioman bagi memudahkan urusan kesihatan dan keluarga.
- Kos perjalanan pergi balik antara Pulau Aur dan Jeti Mersing mencecah RM210 seorang, menyebabkan ramai sukar untuk pulang ke kampung atau mendapatkan rawatan di Mersing, terutama bagi kes rujukan dari Klinik Desa.
- Penduduk dan pemimpin tempatan menyatakan subsidi tambang bot akan membantu mengurangkan beban kewangan, memudahkan pergerakan semasa kecemasan, dan menggalakkan anak-anak pulau lebih kerap pulang menjenguk keluarga.
"Jarang-jarang dapat jenguk mak ayah dekat pulau sebab tambang bot untuk seorang sahaja dah RM105 sehala untuk seorang, bayangkan kalau yang ahli keluarganya ramai? Itu hanya tambang, tak termasuk kos seperti makanan dan perbelanjaan lain.
"Saya dengan adik-beradik dan sepupu pernah berkongsi duit sewa sebuah feri dengan kos RM7,000 untuk pulang berhari raya dengan keluarga tersayang pada 2018," katanya ketika ditemui di pulau berkenaan baru-baru ini.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut berkongsi cerita mengenai bapanya yang perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan dua bulan sekali di Klinik Kesihatan Mersing Kanan.
"Di sini ada Klinik Desa, tetapi untuk kes-kes tertentu perlu dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital yang terletak di Mersing. Oleh itu, penduduk terlibat perlu menyediakan kewangan mencukupi bagi mendapatkan rawatan.
"Jika di darat ada disediakan perkhidmatan bas percuma (Bas Muafakat Johor), harap kerajaan dapat pertimbangkan untuk kami pula, sekurang-kurangnya beri subsidi supaya dapat mengurangkan beban penduduk yang kebanyakan kategori B40," katanya.
Penduduk asal Pulau Aur, Masli Sulaiman, 56, berkata meskipun telah menetap di Mersing lebih 30 tahun, namun dia kerap berulang-alik ke pulau itu.
"Kalau dulu terdapat laluan darat yang boleh digunakan untuk ke jeti antara kampung, namun kini laluan itu telah ditumbuhi semak-samun dan jambatan utama juga rosak, maka jika kami nak ke kampung sebelah pun perlu menaiki bot.
"Oleh itu, jika ada bantuan subsidi ia amat membantu terutama jika berlaku sebarang kecemasan di samping anak-anak pulau pun lebih mudah dan kerap jenguk orang tua mereka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sabinah Md Seth, 48, berkata inisiatif subsidi tambang bot amat dinanti-nantikan memandangkan kebanyakan penduduk terdiri nelayan dan petani tanpa memiliki sumber pendapatan tetap.
"Pahang sudah melaksanakan subsidi tambang untuk penduduk Pulau Tioman (sejak Januari 2023), jadi kita mohon Kerajaan Negeri Johor pertimbangkan perkara sama kepada penduduk Pulau Aur. Kalau tidak dapat percuma pun, sekurang-kurangnya bantu tampung separuh kos tambang, itu pun sudah cukup besar impaknya," tambahnya.
Pulau Aur yang terletak kira-kira 76 kilometer dan perjalanan menaiki bot dari Jeti Mersing mengambil masa dua jam serta pulau ini antara destinasi tumpuan pelancong untuk aktiviti menyelam dan ekopelancongan, selain menjadi laluan strategik bagi bot-bot nelayan dari dalam dan luar negara.
Pada 18 hingga 20 Julai lepas, sebanyak 50 sukarelawan terdiri petugas Kumpulan JCorp dan enam pengamal media menyertai Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 di pulau berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami