Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengecam kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam satu ceramah di Semenyih baru-baru ini, yang dianggapnya dikeluarkan dengan tujuan mencetuskan kebencian perkauman dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan memenangi Pilihan Raya Kecil Semenyih.

Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail berkata demikian dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Nazri berhubung pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dari kalangan bukan kaum Melayu.

"Tiada sebarang undang-undang yang menentukan bahawa jawatan itu perlu diisi oleh seseorang berbangsa Melayu, ia tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan kerajaan untuk melantik sesiapa yang terbaik dalam melaksanakan peranan mereka demi rakyat Malaysia dan bukan kepada bangsa Melayu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata pandangan lapuk mengenai perkauman tidak boleh diterima dalam Malaysia Baharu termasuk di dalam sektor pekerjaan, terutamanya dalam pengambilan kakitangan perkhidmatan awam, kerana kecekapan perlu diambil kira sebagai faktor utama pelantikan.

Jelasnya SUHAKAM mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, namun perlindungan terhadap kedudukan itu tidak bertentangan dengan pelantikan bukan Melayu dalam jawatan berkenaan.

Razali berkata kenyataan Nazri berhubung kematian anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim yang dikatakan Nazri tidak mendapat pembelaan kerana Peguam Negara bukan orang Melayu, merupakam dakwaan yang amat melampau.

"Peguam Negara Tommy Thomas telah mengarahkan inkues kematian Muhamad Adib dijalankan mengikut Seksyen 339 (1) Kanun Prosedur Jenayah dan telah menolak usul sementara untuk menangguhkan inkues tersebut menunggu pendengaran pada 4 Mac kerana kematiannya melibatkan kepentingan awam.

"Hukuman hanya boleh dijatuhkan setelah semua proses perundangan telah lengkap," katanya.

Menurutnya, memandangkan kenyataan tersebut dibuat oleh seorang ahli politik berkedudukan, SUHAKAM mengulangi seruannya supaya Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) diratifikasi untuk menghalang dan membasmi semua manifestasi dan amalan kebencian kaum, agama dan bangsa.

-- BERNAMA