KUCHING: Sarawak mahu menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini untuk muncul sebagai juara temasya sukan dwi-tahunan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat masa ini Sarawak belum menetapkan secara terperinci sasaran pingat pada temasya itu, namun beliau yakin status sebagai tuan rumah merupakan satu kelebihan.

"Juara keseluruhan memang sukar dicapai untuk Sarawak. Kali terakhir kita menjadi juara keseluruhan adalah kira-kira 30 tahun dulu. Selepas 1994, sama ada kita dapat kedudukan naib juara, tempat ketiga atau keempat.

"Biasanya kita berada dalam kelompok lima terbaik, tapi tidak pernah jadi juara (sejak 1994). Saya telah beritahu atlet - tahun ini pastikan kita jadi juara," katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Pada 30 April lepas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasmi bersetuju 488 acara dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 dari 17 hingga 24 Ogos ini, dan Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan jumlah acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 campuran.

Venue pertandingan ditetapkan di sembilan bahagian di seluruh Sarawak, yang terdiri daripada Kuching dengan 25 jenis sukan, Miri (enam jenis), Sibu, Mukah dan Bintulu masing-masing tiga jenis sukan, Samarahan (dua jenis), Serian dan Sri Aman masing-masing satu jenis sukan. - BERNAMA