JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad di sini hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu Sultan Johor turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 oleh Syed Danial.

Mesyuarat itu yang dijadual berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur bulan depan, akan dipengerusikan oleh Sultan Johor.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada 22 dan 23 Feb lepas yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

-- BERNAMA