Skip to main content

Malaysia

Sultan Kedah perkenan kurnia 1,200 kotak sumbangan

Sumber: Astro AWANI
Sultan Sallehuddin (tiga dari kiri) berkenan mengurniakan kotak sumbangan kurniaan Keluarga Diraja Kedah kepada wakil penerima pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan 1,200 kotak sumbangan kurniaan Keluarga Diraja Kedah kepada rakyat yang kurang berkemampuan di negeri itu bertujuan untuk meringankan bebanan mereka.

Kurniaan yang berisi barangan keperluan asas diberikan kepada keseluruhan 12 daerah di Kedah, yang mana ia akan diagihkan menerusi Pegawai Daerah masing-masing.

Advertisement

Inisiatif itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.

Simbolik pengurniaan sumbangan itu diadakan semasa Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Sultan Kedah yang berlangsung di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, di sini, pada Sabtu.

Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali dan  Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi menzahirkan tanda penghargaan dan keprihatinan Sultan Kedah terhadap rakyat khususnya ketika bulan Ramadan.

Ia juga adalah untuk meneruskan tradisi institusi Diraja Kedah dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Must Watch Video