KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya (UM), hari ini berkenan menyampaikan anugerah kepada staf dan badan korporat universiti berkenaan pada majlis Anugerah Cemerlang UM 2022.

Bertemakan 'Pencetus Kecemerlangan', Anugerah Cemerlang UM adalah acara tahunan untuk memberi penghargaan kepada staf cemerlang dan badan korporatnya.

Sebanyak 52 kategori anugerah, termasuk Pengajaran Cemerlang, Penyelidik Cemerlang, Pentadbir Akademik Terbaik, Rakan Korporat Cemerlang serta kategori khas lain disampaikan melibatkan 56 penerima.

Turut hadir adalah kedua-dua Pro-Canselor UM Toh Puan Dr Aishah Ong dan Tan Sri Ramli Ngah Talib, Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Zarinah Anwar dan Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Sementara itu, Mohd Hamdi dalam ucapannya berkata anugerah tahun ke-11 itu begitu dinanti-nanti oleh warga UM selepas tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.

"Anugerah ini juga untuk menzahirkan penghargaan kepada warga UM yang cemerlang dan berbakat sepanjang tempoh pandemik COVID-19, yang telah bertungkus lumus memastikan UM berada di tahap kecemerlangan yang konsisten," katanya.

Penerima anugerah Tokoh Akademik UM Prof Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata beliau terharu dengan penghargaan tersebut, namun menyifatkan anugerah terbesar itu adalah untuk menyumbang kepada negara dengan menghasilkan pelajar yang berbakti kepada tanah air.

"Jadi, (harapan saya) anugerah ini akan memberi satu dorongan dan motivasi kepada rakan-rakan sejawatan saya untuk terus maju dan menjalankan tugasan demi negara, universiti dan diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

-- BERNAMA