Skip to main content

Malaysia

Sultan Pahang rasmi Sekolah Rendah Agama Islam negeri pertama di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 9 Jun -- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) di Tanah Rata hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) di Tanah Rata hari ini. - Foto Bernama

CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) Pahang yang pertama di bangunan sementara di Golden Hill, Tanah Rata, di sini. 

Keberangkatan tiba baginda pada 10.20 pagi itu diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad. 

Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat berkaitan penubuhan dan perancangan sekolah berkenaan serta menyampaikan cek cura sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, iaitu pembelian van yang bernilai RM170,402, sumbangan pembelian papan pintar RM11,000 daripada Bank Rakyat dan 14 unit tablet daripada wakalah zakat Tablet Genius Sdn Bhd. 

Image
CAMERON HIGHLANDS, 9 Jun -- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) di Tanah Rata hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) yang dirasmikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Tanah Rata hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, Ahmad Khirrizal ketika ditemui media berkata pihaknya dalam perancangan untuk menambah SRAIN di setiap daerah dalam negeri ini. 

“Memang kita ada perancangan untuk mewujudkan sekolah ini di daerah lain. Mungkin selepas ini kita akan membuka sekolah ini di daerah Kuantan, dan seterusnya ke daerah lain.

“Kita sasar setiap daerah ada, diwujudkan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang ini yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang,” katanya.

Mengulas mengenai titah baginda ketika sesi taklimat berhubung hasrat untuk memasukkan sukatan pelajaran bahasa Cina ke dalam sekolah tersebut, Ahmad Khirrizal berkata JAIP akan mengusahakan perkara itu. 

“Pihak jabatan akan cuba merealisasikan titah Kebawah Duli Tuanku tersebut, dan seterusnya kita akan cari sumber tenaga pengajar yang berkelayakan untuk ditempatkan di sekolah ini, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sekolah berkenaan akan mempunyai bangunan sendiri di Taman Royal Lily dengan keluasan empat hektar yang akan dibina bersekali dengan dengan kompleks masjid baharu di daerah Cameron Highlands.

Penubuhan SRAIN Cameron Highlands ialah manifestasi langsung daripada titah hasrat dan iltizam Al-Sultan Abdullah yang mahukan sebuah institusi pendidikan Islam merangkumi sekolah rendah dan sekolah menengah yang tersusun dan berkualiti diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Cameron Highlands.

Pada 4 Jan lepas, SRAIN Cameron Highlands dibuka secara rasmi dengan 14 murid darjah satu telah mendaftar sebagai kumpulan pertama dan ditadbir oleh tujuh guru.

Sekolah ini menawarkan mata pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta program Khas Hafazan Al-Quran Bertahap (TAHFIZ).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement